Semasa terima kunci rumah baru, periksa setiap ruang dengan teliti dan laporkan semua kecacatan secara bertulis kepada pemaju. Anda ada 24 bulan tempoh tanggungan kecacatan selepas serahan milikan kosong (VP), dan pemaju mesti membaiki kecacatan yang dilaporkan dalam 30 hari. Tetapi kecacatan yang dikesan dan dilaporkan awal paling mudah dituntut. Gunakan senarai semak di bawah.
1. Sebelum masuk: dokumen
- Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) telah dikeluarkan. Tanpa CCC, VP tidak sah.
- Surat notis VP dan tarikhnya (tempoh 24 bulan bermula dari sini).
- Bekalan air dan elektrik sudah disambung dan berfungsi.
- Kunci semua pintu, pagar, peti surat dan kad akses (jika strata) lengkap.
- Borang aduan kecacatan pemaju, atau alamat emel/portal rasmi untuk aduan.
2. Dinding dan siling
- Retak halus atau besar, terutamanya di bucu tingkap dan pintu.
- Kesan lembap, tompok air atau cat menggelembung (tanda kebocoran).
- Permukaan tidak rata, cat tidak sekata atau tercalar.
- Siling bertompok, retak atau melendut, terutamanya di bawah bilik air tingkat atas.
3. Lantai dan jubin
- Ketuk jubin dengan syiling: bunyi "kosong" bermaksud jubin berongga yang boleh pecah kemudian.
- Jubin retak, sumbing atau tidak sama aras.
- Garisan grout tidak lengkap atau tidak sekata.
- Lantai bilik air dan beranda condong ke arah lubang air (tuang sedikit air dan perhati).
4. Pintu dan tingkap
- Buka dan tutup setiap pintu dan tingkap: tersekat, berbunyi atau tidak rapat.
- Kunci, tombol dan engsel berfungsi.
- Cermin retak atau calar.
- Getah penebat tingkap lengkap (elak air masuk semasa hujan).
5. Bilik air dan paip
- Buka semua paip: tekanan air, air keruh, paip bocor di bawah sinki.
- Pam tandas berfungsi dan tidak bocor.
- Air mengalir laju ke lubang longkang, tiada air bertakung.
- Pemanas air (jika disediakan) dan kipas ekzos berfungsi.
6. Elektrik
- Uji setiap soket dengan pengecas telefon.
- Semua suis lampu dan kipas berfungsi.
- Papan agihan (DB) berlabel dan pemutus litar (RCCB) berfungsi.
- Titik pendingin hawa, TV dan internet berada di tempat yang dijanjikan dalam pelan.
7. Dapur
- Kabinet dan sinki (jika disediakan) terpasang kemas, tiada bocor.
- Jubin dinding dapur tidak berongga.
- Saluran gas atau titik dapur elektrik ikut pelan.
8. Luar rumah
- Bumbung: genting pecah atau senget (lihat dari luar dan dari ruang siling jika boleh).
- Talang dan paip air hujan tidak tersumbat.
- Pagar, pintu pagar dan porch kereta: retak, karat atau tidak rata.
- Longkang keliling rumah mengalir dengan baik.
Cara buat aduan yang berkesan
- Tandakan setiap kecacatan dengan pita pelekat dan nombor.
- Ambil gambar setiap satu, dengan tarikh.
- Senaraikan dalam borang aduan pemaju, satu baris setiap kecacatan, dengan lokasi (contoh: "Bilik tidur 2, dinding kiri, retak 30cm").
- Hantar secara bertulis (emel atau surat berdaftar) dan simpan bukti penghantaran. Tempoh 30 hari pemaju bermula dari tarikh notis diterima.
- Periksa semula selepas pembaikan dan tandatangan pengesahan hanya bila anda puas hati.
Jika pemaju gagal membaiki
Ikut prosedur dalam SPA: selepas memberi notis, anda boleh membaiki sendiri dan menuntut kos daripada pemaju atau wang pegangan (stakeholder) yang dipegang peguam pemaju. Untuk tuntutan sehingga RM50,000, anda boleh memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah tanpa peguam. Langkahnya ada dalam panduan cara tuntut di Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah.
Belum beli? Fahamkan dulu beza SPA Jadual G dan Jadual H dan proses beli rumah projek baru.
Soalan lazim
Berapa lama tempoh tanggungan kecacatan rumah baru?
24 bulan dari tarikh serahan milikan kosong (VP), untuk rumah bertanah (Jadual G) dan strata (Jadual H). Pemaju mesti membaiki kecacatan yang dilaporkan secara bertulis dalam 30 hari selepas menerima notis.
Boleh saya upah orang lain periksa rumah?
Boleh. Ramai pembeli mengupah syarikat pemeriksaan kecacatan profesional yang membawa alat seperti meter kelembapan dan pengesan jubin berongga. Laporan mereka memudahkan aduan kepada pemaju.
Bagaimana jika pemaju tidak baiki dalam 30 hari?
Ikut prosedur dalam SPA: anda boleh membaiki sendiri selepas memberi notis dan menuntut kos daripada pemaju atau wang pegangan. Untuk tuntutan sehingga RM50,000, Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah ialah pilihan yang murah dan cepat.
Cari rumah projek baru?
Kami hantar price list dan pelan lantai terkini, percuma.